Friday, January 2, 2009

Selamat Tinggal 2008, Selamat Datang 2009


Mohammad Sutiadi Haji Hamsawi 2009




assalamualaikum

alhamdulillah, kita telah selamat meninggalkan tahun 2008 dengan kenangan yang sukar untuk dilupakan. saya ingin memohon maaf kerana tidak sempat untuk menulis blog sempena pembukaan tahun baru 2009. saya mempunyai sedikit urusan yang memerlukan saya berada di luar kawasan.

banyak yang telah dilakarkan di dalam tahun 2008. setiap kenangan yang dicipta tidak terlepas daripada cebisan-cebisan kekecewaan dan dibaluti kesedihan. tidak kurang pula dengan memori yang cukup manis dilalui bukan sahaja oleh diri saya malah, ketika bersama teman-teman seperjuangan yang lain.

tahun 2008 memberikan saya begitu banyak memori yang akan saya sematkan di dalam kotak minda saya sampai bila-bila. tahun inilah banyak mengajar saya nilai-nilai dalam kekeluargaan, persahabatan dan percintaan. pendeknya, semua yang terkandung di dalam kehidupan. amat subjektif sekali jika diperkatakan secara lisan namun, saya merasa sendiri setiap apa yang berlaku pada diri saya sedikit sebanyak membuka mata saya kepada suatu benda baru. saya bersyukur, saya tidak dibutakanNya dalam mengenal siapa lawan siapa kawan, apa yang dilihat sebagai permata dan apa yang dilihat sebagai kaca.

saya mengharungi tahun 2008 dengan pelbagai harapan. banyak yang saya impikan untuk dicapai pada tahun itu. ada yang telah berjaya saya realisasikan dan ada yang gagal. pada tahun 2008, saya berpeluang untuk melangkah jauh di dalam bidang yang saya minati, iaitu nyanyian. kumpulan nasyid Unimas, DaMy telah memenangi anugerah Kumpulan Harapan dan Seri Perdana dalam pertandingan nasyid antara Universiti majlis kebudayaan antara Universiti MAKUM 2008 yang bertempat di Johor disember lalu. di dalam kumpulan DaMy lah saya bertemu dengan sahabat yang benar-benar memahami saya sebagai peminat muzik. saya amat berterima kasih kepada hishamudin dan rakan-rakan yang lain kerana memberikan saya keyakinan dalam melakukan semua ini bersama-sama DaMy. zul, nasir, hazrul, kurt, faizal, fakro, is, mukmin, amirul, alip dan rosdi. terima kasih.

saya tidak akan dapat melupakan kenangan gila-gila ketika bersama sahabat seperjuangan kelas kajian komunikasi pada tahun 2008. jamali, santha, suhaila, hazri, nira dan zura. saya memang amat menyenangi mereka. tidak pernah sekalipun mereka gagal untuk menenangkan hati bila saya berada di dalam keadaan yang gusar. antara perkara yang paling gila-gila pernah dilakukan adalah ketika menyertai ekspedisi "ghost-hunting". saya masih ingat lagi ketika itu, saya sedang memandu kereta. jamali sedang menerangkan sesuatu kepada santha dan suhaila. ketika sedang menuju ke makam sultan tengah, saya terpaksa memberhentikan kereta secara mengejut kerana "sesuatu" sedang melintas jalan. benda tersebut kalau hendak dikatakan monyet, tidak juga, tupai tidak juga. badannya berupa seekor monyet kecil dan tidak mempunyai sebarang bulu. dan benda tersebut berjalan secara mengengsot. jamali yang pada ketika itu asyik bertanya kepada saya, apa itu richie? berulang kali. mujurlah suhaila dan santha lekas menyedarkan saya lalu memutar balik stereng kereta balik ke kawasan petrajaya. masing-masing diam seribu kata ketika dalam perjalanan pulang.

bulan november memberikan saya satu pengalaman baru. selama 4 tahun benih-benih cinta yang saya semai selama ini akhirnya terlerai juga. saya kesal, kecewa dan sedih kerana saya tidak mampu untuk menahan hubungan yang telah saya bina selama 4 tahun. perit memang perit tetapi saya tidak mempunyai pilihan lain melainkan melepaskannya pergi. dia sudah tiada ertinya di dalam hidup saya kini. saya pasti dapat melalui tempoh ini.. pasti...

No comments: