Tuesday, September 2, 2008

luahan seorang mahasiswa

Saya rasa terpanggil untuk meluahkan sesuatu yang telah lama saya pendamkan selama ini. Pertama sekali saya ingin memohon maaf sekiranya apa yang saya katakan di sini mengganggu sesetengah pihak. Saya merupakan seorang pelajar tahun akhir Fakulti Sains Sosial sesi 2005-2008 insya Allah. Adalah menjadi satu perkara yang menakjubkan apabila mendapat tahu ditawarkan untuk melanjutkan pengajian di institusi ini. Pada awal tahun pengajian saya di Unimas, semuanya berjalan dengan lancar atau dalam erti kata yang lain, semua aspek pengajian mahupun kegiatan luar berada di dalam keadaan yang amat baik. Tetapi semakin menganjak dari tahun ke tahun, daripada apa yang saya amati, keadaan sebegitu tidak lagi terjadi. Bukanlah bermaksud untuk mengatakan bahawa aspek-aspek tersebut bertambah buruk tetapi perkara tersebut seolah-olah diabaikan. Semua kita sudah sedia maklum bahawa Unimas terdiri daripada dua kampus utama iaitu kampus barat dan timur. Dan hanya 2 fakulti sahaja yang masih berada di kampus lama iaitu Fakulti Sains Sosial (FSS) dan Fakulti Ekonomi & Perniagaan (FEB). Masih segar di dalam ingatan tentang betapa selesanya keadaan di kampus timur ketika mula-mula melangkah masuk ke Unimas. Semua kemudahan disediakan dan tidak timbul sebarang masalah. Tetapi semakin menganjak dari tahun ke tahun, daripada apa yang saya amati, keadaan di kampus timur amatlah berbeza jika dibandingkan dengan keadaan yang sama 3 tahun dahulu. Kemudahan yang disediakan semakin menghilang, sebagai contoh, pondok telefon awam yang dahulunya diletakkan berhadapan dengan dewan CAIS lama tetapi kini, hanya tinggal pondoknya sahaja. Bukan itu sahaja, jika dulu di kampus timur terdapat kemudahan mesin ATM untuk mengeluarkan wang (RHB bank) bersebelahan dengan koperasi Unimas (kini menjadi pejabat SUKSIS), tetapi kami hanya bergantung harap kepada mesin ATM Bank Islam (Bersebelahan dengan Pos Pengawal). Itupun sekiranya mesin berfungsi dengan baik. Jika tidak, pelajar dari kampus timur perlu pergi ke kampus barat, tempat letaknya mesin ATM RHB Bank. Kini saya tertanya-tanya, mengapakah keadaan sebegini terjadi? Mengapakan nasib pelajar kampus timur kurang bernasib baik jika dibandingkan dengan pelajar kampus barat? Saya berfikir bahawa Unimas adalah universiti yang menyediakan kemudahan yang sama kepada kedua-dua kampus.

Apabila fakulti-fakulti seperti FK, FIT, FSGK, FSKPM dan FSTS berpindah ke kampus baru, kampus timur seolah-olah menjadi kosong dan tidak bermaya. Bukan disebabkan oleh hanya FSS dan FEB sahaja yang tinggal tetapi keadaan persekitaran kampus timur agak menyedihkan. Landskap kampus timur jika diperhatikan seakan-akan hidup segan mati tak mahu. Keadaan dewan kuliah juga kurang diberikan perhatian oleh pihak yang berkaitan. Cuba anda lihat keadaan dewan kuliah 5 dan 4 ataupun mana bilik seminar di kampus timur, kerusi-kerusi dan alat pendingin hawa tidak berada di dalam keadaan yang sesuai. Ada kerusi-kerusi yang sudah tidak dapat digunakan lagi dan belum lagi diganti dengan kerusi yang baru. Satu lagi isu yang ingin saya ketengahkan di sini adalah tentang parkir kereta pelajar. Saya amat tidak bersetuju dengan tindakan pihak yang berkaitan kerana telah mewartakan beberapa buah tempat untuk dijadikan tempat letak kereta staf di sesetengah kawasan kampus timur. Berdasarkan pengalaman saya sendiri, pada semester pertama sesi 2007-2008, saya selalu meletakkan kereta di ruang tempat letak kereta di depan pejabat FSS dan FEB dan saya dapati ramai lagi pelajar yang meletakkan kereta mereka di tempat yang sama.

Secara logiknya, ruang letak kereta di depan pejabat FSS dan FEB adalah agak besar dan saya berpendapat tidaklah semua kenderaan staf Unimas mampu memenuhi ruang itu. Apalah salahnya sekiranya ruang tersebut diberikan juga kepada pelajar? Saya berasa amat terkilan setelah menerima saman salah letak kenderaan baru-baru ini kerana selama setahun saya meletakkan kereta di tempat itu, saya tidak pernah disaman. Apabila menyentuh tentang makanan, saya berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan kerana Keranji Food Court telah memberikan perkhidmatan yang baik. Namun, apa yang ingin saya katakan di sini adalah saya menyeru kepada Unimas agar mengubah struktur bangunan KFC tersebut dengan menambah lebih banyak ruang untuk tempat duduk dan lebih banyak kedai untuk pelajar mememilih dan membeli makanan mereka. Harga dan bayaran makanan itu tidak menjadi soal kerana kita sedia maklum bahawa semua barang-barang mentah sudah naik harganya. Tetapi, saya memohon kepada pemilik kedai supaya lebih bersikap lebih teliti ketika memberikan harga khususnya untuk makanan nasi campur.

Hal ini demikian kerana ramai di antara pelajar-pelajar merungut kerana telah mengambil makanan dalam kuantiti yang sedikit tetapi dikenakan bayaran yang sama dengan kuantiti yang banyak. Saya berasa hairan kerana di Kafe Bunga Raya, harga untuk menu nasi campur adalah paling murah walaupun lauk yang diambil boleh dikatakan banyak. Semua kita tahu bahawa Unimas kini telah memiliki pusat bolingnya sendiri. Syabas dan tahniah diucapkan kerana telah memberikan satu lagi kemudahan luar biasa. Namun, saya sendiri telah mengalami situasi di mana tidak dapat bermain kerana beberapa lane telah direserve oleh staf. Bukan sekali mahupun dua tetapi sudah beberapa kali saya mengalami keadaan sebegini. Begitu juga dengan kemudahan meja Pool, bukan untuk pelajar tetapi untuk staf. Belum lagi saya menyentuh tentang sikap beberapa orang staf Unimas yang langsung tidak menghormati pelajar. Seharusnya staf lebih menonjolkan sikap membantu kerana tanpa staf, urusan berkaitan pelajar dengan universiti tidak akan berjalan dengan lancar. Sepatutnya staf-staf Unimas lebih bersikap profesional memiliki kemahiran interpersonal yang tinggi. Saya di sini bukanlah bermaksud untuk menimbulkan rasa benci tetapi itu adalah hakikat. Isu kolej, memang tidak dapat dinafikan lagi, ramai pelajar merungut tentang bayaran kolej yang agak tinggi. Bayangkan untuk bilik single, saya harus membayar sebanyak RM525 untuk satu semester.

Jumlah tersebut menyerupai jumlah ayah saya membayar bayaran bulanan untuk kereta di rumah. Saya mengerti bahawa Unimas perlu mengikuti perkembangan semasa dan kadar RM3.5 sehari dirasakan sesuai tetapi bagi pelajar, ia adalah satu kadar yang berat. Jika pelajar menerima wang pinjaman PTPTN secara menyeluruh, itu tidak menjadi soal. Tetapi bagaimana pula dengan pelajar hanya mendapat separuh pinjaman. Menyentuh tentang kolej lagi, ingin saya bawa perhatian anda kepada peraturan kolej di mana, memasak di dalam kolej sama sekali tidak dibenarkan. Ada yang bersetuju dengan peraturan tersebut kerana terjadi insiden di mana kemalangan membabitkan penggunaan periuk nasi elektrik. Tetapi, peraturan baru ini pada pendapat saya, amat berat untuk diterima oleh segelintir pelajar yang memiliki periuk nasi elektrik. Kami banyak bergantung harap kepada periuk nasi elektrik untuk memasak pelbagai makanan seharian. Cuma isu yang timbul di sini adalah dari segi keselamatan. Daripada bertindak merampas peralatan tersebut, saya ingin menyuarakan pendapat bahawa eloklah isu ini dibincang di antara pelajar dengan pengurusan kolej. Merampas sama sekali tindakan yang drastik tetapi ada juga rasionalnya saya percaya. Pelajar Unimas bukanlah terdiri daripada golongan elit dan kaya raya. Itu yang ingin saya tekankan di sini. Kadang-kadang saya berfikir seketika, apalah gunanya belajar di satu tempat yang tidak memberikan kepuasan pembelajaran yang maksimum kepada pelajar dan hanya menimbulkan rasa tidak puas hati?

Apakah perjuangan MPP yang sebenarnya? Adakah wujudnya anjakan paradigma di dalam perjuangan MPP? Sepatutnya MPP diberikan mandat untuk menjadi mata dan telinga pelajar ataupun watchdog. Saya tidak menolak bahawa MPP telah banyak menjalankan aktiviti menarik kepada pelajar tetapi kebanyakan pelajar tidak melihat apa yang telah dilakukan oleh mereka. Setakat event-event yang telah dilaksanakan, saya berpuas hati tetapi berkaitan dengan kemudahan yang ada di kampus timur (contohnya). Saya ingin melihat MPP di Unimas bergiat dengan aktif memperjuangkan nasib pelajar dan bukan sahaja hebat berkempen semasa pilihan raya sahaja. Kita sebagai pelajar universiti bukanlah pelajar sekolah menengah lagi. Kita mampu untuk berfikir ke depan mana yang sesuai untuk perkembangan modal insan negeri satu masa kelak. Psikologi pelajar juga perlu dititikberatkan dalam memastikan perkara tersebut berlaku. Saya berpendapat, sekiranya kemudahan disediakan dengan sama rata dan keadaan kelas dipertingkatkan tidak mustahil kita melihat lebih ramai graduan Unimas mampu dihasilkan. Apabila aspek ini dipenuhi, saya berfikir kita mampu untuk menjadi salah satu daripada universiti terbaik di Malaysia dan sapa tahu satu masa nanti, menjadi salah satu universiti yang terbaik dunia. Menurut kenyataan Prof Aminah Ayob, Naib Canselor Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), hanya USM dikelaskan sebagai satu-satunya universiti dalam kelas cemerlang manakala yang lain hanya berjaya mencapai tahap baik dan sederhana. Itu membuatkan saya berfikir lagi, di manakah kedudukan universiti tercinta kita Unimas? Kini, Unimas sudah berubah, ya dari konteks pembangunan saya setuju di mana Unimas bertambah megah dan menarik tetapi lihatlah keadaan kampus timur. Adakah layak untuk disamakan dengan kampus barat?

Oleh itu saya berharap agar tulisan saya ini membuka ruang kepada pelajar lain untuk menyuarakan pendapat mereka agar sama-sama kita melihat perubahan daripada yang baik menjadi lebih baik. Saya memohon maaf sekiranya menyinggung perasaan mana-mana pihak cuma apa yang ingin katakan adalah sesuatu yang penting di mana ia mampu menjadikan Unimas institusi yang lebih gemilang jika bukan kini, pada masa-masa yang akan datang.

Sekian.

1 comment:

nadya farhana said...

kenak staf rah u semua nya sama oo..
xhormat pelajar la..
bila dtanya marah la...
apa la guna jd staf mun x tlg student..
rite??
jd..
kpd staf2 u...
pker2kan lah.. :)