Monday, June 8, 2009

dunia sudah berubah

adakah aku sudah bersedia?


assalamualaikum..

alhamdulillah, saya dapat juga mencuri masa untuk menulis kembali. sudah hampir sebulan saya tidak mengemaskinikan blog saya. saya berasa amat bersyukur kerana saya sudah tamat pengajian 4 tahun saya di universiti malaysia sarawak. pejam celik, sudah sebulan saya meninggalkan kampus Unimas yang terletak di Kota Samarahan. selepas berakhirnya peperiksaan akhir pada 3 Mei lalu, saya terus kembali ke dalam bilik di Kolej Bunga Raya. tanpa membuang masa, saya mengemaskan segala barang-barang yang menghuni bilik itu sekian lama. kebanyakan barang-barang saya sudah berhabuk termasuklah beberapa kotak fail-fail lama. tersentuh pula hati saya apabila melihat sekeping gambar yang saya letak di sebelah kiri sudut meja belajar. gambar tersebut adalah gambar diri saya ketika pertama kali menjejakkan kaki ke Unimas, Julai 2005. saya terus tersenyum seketika kerana semua itu tinggallah kenangan yang benar-benar memberikan satu motivasi untuk diri saya. selepas mengemas semua barang-barang milik saya, saya berkunjung ke pejabat kolej, untuk memberikan balik kunci apartment yang telah saya pegang selama 2 tahun (saya menginap bilik yang sama sejak 2007). saya mengucapkan terima kasih kepada kakak dan abang pejabat kerana telah banyak membantu ketika saya menginap di kolej yang paling luas di Unimas ini. setelah selesai menyerahkan kunci bilik, saya mengambil masa sedikit untuk memandang kembali kolej kediaman saya.

saya terus bergerak ke kampus timur, di mana fakulti sains sosial terletak. tujuan saya cuma satu, berterima kasih kepada semua warga FSS kerana telah memberikan saya peluang untuk maju selama ini. saya berkesempatan melawat semua pensyarah-pensyarah yang pernah mendidik saya. kami berbual panjang sehinggalah tiba waktu makan tengah hari. setelah itu, saya dan Hazrie kembali ke kafe bulat di kampus barat, tempat di mana kami gemar makan tengah hari. bukan apa, pilihan lauk nya yang banyak dan harga yang sungguh berpatutan. kami makan tengah hari di kolej itu di samping menemui beberapa orang rakan yang masing-masing menarik nafas lega selepas tamat peperiksaan akhir.

alhamdulillah, saya baru sahaja menelefon infoline Unimas. saya mendapat satu berita gembira, sungguh gembira. khabar berita yang gembira itu tidak lain dan tidak bukan, sah mendapat tempat di dewan Unimas 15 Ogos nanti. ya, syukur ke hadrat Ilahi, saya telah lulus peperiksaan akhir dan bermakna, saya layak bergraduat bulan Ogos nanti. gembira bukan kepalang sehinggakan saya sudah tidak senang duduk ketika mendapat berita tersebut. saya sendiri tidak menyangka saya memperoleh pointer 3.02, setelah beberapa tahun saya tidak memperoleh pointer menjangkau 3.0. saya lulus juga kertas subjek Puan Siti Haslina, yang saya akui saya takut dan seram sejuk ketika berada di dalam kelas itu. Penulisan Ilmiah saya juga lulus, terima kasih Dr. Awang dan dua A yang saya peroleh daripada kertas subjek EPP (english for professional purposes) dan Kelakuan Organisasi cukup melegakan saya. tidak sia-sia saya menunggu selama ini. sehinggi kini saya masih belum percaya yang saya akan menuju ke majlis konvokesyen Unimas nanti. kini, bakal tergantunglah gambar saya di sebelah gambar konvokesyen abang di rumah.

kini saya berasa sungguh bahagia sekali, kerana dikurniakan kehidupan yang baik, keluarga yang terbaik, sahabat yang setia dan teman istimewa yang memahami. tidak ada apa yang saya perlukan buat masa ini kerana bagi saya, semuanya cukup membahagiakan. pelan? ya, saya sudah memasang impian untuk bekerja dalam bidang yang saya gemari iaitu perhubungan awam. pada masa ini, saya masih lagi mencari ruang untuk memasuki industri pekerjaan yang saya akui, sungguh kompetitif sekarang. saya teringat dengan pesanan cikgu mohd hazani tempoh hari, ikhlaskan niat kalau nak bekerja, walaupun gaji tak besar, dapat menyumbangkan sesuatu kepada ibu dan bapa sudah memadai. katanya lagi, fokus saya kini hanyalah gaji yang besar dan fokusnya cuma keluarga. saya pada mula kurang mengerti apa maksud beliau namun setelah saya berfikir panjang, saya akhirnya faham. dua dunia yang berbeza. iaitu, sebagai insan yang baru mengalami suasana pekerjaan dan insan yang sudah lama berkecimpung dalam dunia tersebut. bagi saya, memang saya tidak berbohong, gaji adalah faktor utama yang difikirkan ketika hendak memilih pekerjaan. tetapi buat cikgu hazani, apa yang difikirkannya sekarang cumalah keluarganya.

saya fikir, itulah apa yang dinamakan kehidupan yang saya rasa penuh dengan pilihan. kita hanya perlu mengetahui apa yang perlu kita pilih, untuk melalui hidup hari demi hari. saya buat masa ini, bekerja sebagai guru tusyen bahasa inggeris pada malam isnin, selasa dan jumaat. walaupun pendapatannya tidak seberapa tapi saya syukur kerana saya masih lagi boleh menabur bakti mendidik anak bangsa, seperti apa yang telah saya lakukan ketika menjawat jawatan guru sandaran sekolah rendah pada tahun 2005 dahulu. saya masih boleh mengajar kanak-kanak dengan baik walaupun ada ketikanya mereka bersikap terlebih nakal daripada yang biasa. lumrah pendidikan.

eloklah saya berhenti kerana saya sudah pun keletihan selepas membersihkan bilik belajar saya di rumah pagi tadi. apa-apapun, trima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk membaca blog saya. salam..