Saturday, March 28, 2009

festival nasyid UITM 2009







assalamualaikum.


pada bulan februari yang lepas, kumpulan nasyid DaMy sekali lagi telah dijemput untuk membuat persembahan semasa festival nasyid yang dianjurkan oleh uitm kampus samarahan. undangan tersebut telah membawa pengertian yang amat besar bagi kumpulan kami. pada masa yang sama, saya telah dijemput untuk menjadi hakim pertandingan nasyid pada malam tersebut. semua peserta telah mempamerkan bakat yang cukup tinggi kualitinya. saya berasa amat berbesar hati kerana pihak uitm telah sudi mengundang kumpulan nasyid DaMy untuk berkunjung dan berkongsi usrah pada malam tersebut. semoga nasyid menyatukan kita.

wassalam.

Wednesday, March 25, 2009

Hidupku sebagai pelajar

Puan Jeni dan Puan Raini mula bergendang


para penandak asyik dengan tarian masing-masing


perjalanan ke kampung tiang api amat sukar


saya ketika dalam perjalanan menuju ke pengkalan


inilah dia, pengkalan kampung tiang api



assalamualaikum.

alhamdulillah, saya masih lagi berdaya untuk menghirup udara segar di bumi yang sementara ini. saya ingin memohon maaf kepada pembaca blog kerana tidak mengemaskini blog saya beberapa minggu yang lepas.

syukur, saya baru sahaja selesai menjalankan kajian lapangan untuk melengkapkan tesis penulisan ilmiah saya yang kedua. semua data-data dan maklumat yang berkaitan dengan tajuk saya iaitu "budaya bergendang dan bermukun sebagai budaya popular di kampung Tiang Api, Kuching" telah siap direkod dan diletakkan di dalam laporan. saya pada kali ini berminat untuk memilih tajuk yang berkaitan dengan budaya masyarakat melayu sarawak. oleh itu, saya telah memilih untuk mengkaji fenomena bergendang dan bermukun di dalam kampung sebelah ibu di kampung Tiang Api.

bergendang dan bermukun adalah budaya dan seni hiburan tradisional yang diperturunkan di dalam masyarakat melayu sarawak secara turun temurun. tidak terkecuali untuk kampung di sebelah ibu saya di mana budaya ini masih lagi giat dan aktif dianjurkan. secara umumnya, acara bergendang selalu dianjurkan untuk meraikan kunjungan pembesar, menyambut musim menuai, perkahwinan mahupun berkhatan atau untuk beriadah dan bersantai. bermukun pula merujuk kepada aktiviti berbalas pantun dan biasanya bermula sejurus seh gendang memulakan paluan gendang dan gesekan biola oleh penggesek.

saya telah berkunjung ke kampung tersebut pada 20 mac yang lepas dan perjalanan ke sana tidaklah semudah pergi ke kampung yang lain di negeri ini. untuk pergi ke kampung Tiang Api, anda perlu menunggu bot sangkut ataupun perahu di pengkalan kampung goebilt, yang terletak kira-kira 10km dari bandar Kuching. setelah itu, bot akan membawa anda ke pengkalan kampung Tiang Api, tetapi belum lagi sampai sepenuhnya ke kawasan perkampungan tersebut. anda perlu berjalan kaki melintasi kebun nenas, belukar dan terakhir sekali kebun kelapa. kampung Tiang Api hanya kampung yang kecil tetapi pegangan budaya tradisi nya masih utuh. saya amat terperanjat apabila sambutan daripada masyarakat amat memberangsangkan. persiapan untuk acara bergendang dilakukan dengan teliti dan saya secara jujur mengakui agak terkejut dan kagum dengan semangat tolong menolong yang ada dalam masyarakat kampung tersebut. pada sebelah malam jumaat (20mac) bermulalah acara bergendang dan bermukun. saya merakam setiap kejadian tersebut dan mendapati acara bergendang dan bermukun sememangnya menyeronokkan. seh gendang (wanita yang memukul gendang) dan penandak (penari lelaki yang sedang menari) saling berbalas mukun (pantun) sebagai contoh;
seh gendang memulakan pukulan gendang dan memulakan acara dengan menjual pantun;

bukan mukun sebarang mukun,
mukun kamek berisik bunga ngerejas
bukan pantun sebarang pantun,
pantun kamek mintak dibalas

setelah itu, penandak akan membalas pantun seh gendang sebagai contoh;

duaklah tiga kucing berlari,
mana nak sama si kucing belang,
duaklah tiga sudah kucarik
manalah nak sama cik puan sorang
acara diteruskan dengan berbalas pantun antara seh gendang dan penandak. sehinggalah seh gendang akan berpantun seperti berikut untuk menandakan tamatnya acara bergendang dan bermukun;
mak Adah memolah puan,
puan diletak di atas peti,
saya memadah bedengan tuan,
main kamek mohon berenti.

saya melihat situasi yang wujud semasa acara bergendang dan bermukun ialah amat santai. semua yang hadir memberikan konsentrasi yang tinggi. amat mengejutkan bagi saya kerana bukan sahaja bentuk hiburan tradisional ini ditonton oleh golongan tua malah turut dinikmati oleh generasi muda. saya perhatikan sanak saudara keluarga yang menganjurkan acara bergendang dan bermukun turut menghidangkan jamuan ringan kepada hadirin yang hadir. ini jelas menunjukkan amalan sosial bermasyarakat masih dipegang oleh penduduk kampung Tiang Api.

selama tiga hari saya menjalankan kajian di kampung tersebut, saya mengalami pengalaman budaya yang amat istimewa pernah saya alami dalam hidup. pertamanya, saya melihat peranan hiburan tradisional bergendang dan bermukun sebagai medium komunikasi antara manusia, dan juga sebagai medium untuk mendidik generasi muda (menerusi pantun). sungguh unik sekali.


pagi tadi (26mac) saya telah membentangkan bab I sehingga bab III penulisan ilmiah II saya di hadapan penyelia, Dr Awang Azman bertempat di bilik mesyuarat pusat bahasa Unimas. pada mulanya saya berasa gentar tetapi semakin gentar tangan milik saya ini, diri saya semakin bersemangat. syukur alhamdulillah, Dr Awang telah memberikan komen yang positif terhadap bab I, bab II dan bab III kajian saya. bulan april nanti saya akan membentangkan hasil kajian saya pula. Dr Awang sempat memberitahu saya bahawa sekiranya tajuk saya ini lulus cemerlang, tidak mustahil saya boleh meneruskan kajian ini dengan mendalam sebagai tesis program Master saya bulan februari tahun depan insyaAllah.

saya ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan kajian lapangan saya. terutamanya warga kampung Tiang Api yang tidak putus-putus menghulurkan bantuan seperti Encik Roseli Mahiden, Cik Radiah Mahdi, Puan Jeni Mahiden, Encik Mahdi Mahiden, Encik Hamzan Hamdan, Puan Raemah Lee, Puan Raini Paleng, Puan Ara Kapis, dan Puan Limah Cik. selain itu, saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Dr Awang Azman kerana telah memberikan bimbingan untuk mendasari kajian saya.

sekian.





Saturday, March 14, 2009

Kembali

inilah kelas darjah 4 dan 5 yang saya ajar setiap selasa.. yang sedang membaca itu ialah adik Arifah..


saya dan hishammudin sedang kekenyangan setelah penat membuat persembahan nasyid di sekolah menengah sains kuching. (abang enol Hawary sedang khusyuk berbual dengan abang wafa [di belakang hishammudin])


saya dan hazrul bergambar di dewan sekolah menengah sains kuching, selepas persembahan.

inilah Linda, anak buah saya.. ^_^


inilah rupa saya sekarang.. di tengah-tengah kesibukan hidup dan kegembiraan dunia...



assalamualaikum

alhamdulillah, baru kini saya berkesempatan untuk menulis blog kembali setelah mengharungi beberapa minggu yang amat menyibukkan.

saya sememangnya tidak menyangka saya menjadi teramat sibuk sejak belakangan ini. dengan tugasan yang semakin menimbun, ditambah lagi dengan tugasan tesis tahun akhir saya. oh ya, buat masa ini, dengan jumlah kelas untuk semester ini yang amat sedikit, saya telah menerima tawaran sahabat saya untuk mengajar kelas bimbingan Bahasa Inggeris tingkatan 4 dan darjah 4 serta 5. saya sebelum ini memang pernah mengajar bahasa inggeris ketika menjawat jawatan guru sandaran di SK Pulo pada tahun 2005 dahulu. mula-mula saya berasa kekok kerana sudah lama saya tidak mengajar. mengajar tingkatan 4 tidak menjadi masalah kepada saya cuma saya berasa gentar setelah mengajar tahun 4 dan 5. bukan calang2 anak murid yang saya punyai. cukup nakal tetapi mereka memang hebat, kerana mereka saling bertanya kepada saya setiap perkara yang tidak mereka fahami. mereka cukup comel. saya sudah memberikan mereka kerja rumah untuk saya semak hari selasa nanti.

kehidupan saya di Unimas pada belakangan ini memang amat sibuk. semester ini juga adalah merupakan semester terakhir saya untuk bergiat aktif dalam nasyid. kumpulan yang saya sayangi, Da'My alhamdulillah telah mula dikenali dan berjaya menjadi sebuah kumpulan nasyid yang mantap. pada 7 haribulan mac yang lalu, kami telah menjayakan konsert bersama Hawary di sekolah menengah sains kuching sempena maulidur Rasul. kami diundang untuk menjayakan konsert Hawary bersama-sama kumpulan nasyid tersohor bumi kenyalang, Hawary. seperti biasa perasaan gemuruh masih lagi bersarang di hati saya sebelum menyampaikan lagu. alhamdulillah, kami berjaya membawakan semua lagu-lagu Da'My dengan baik. syukurlah, sambutan daripada adik-adik sekolah menengah sains kuching amat memberangsangkan.

saya tidak menyangka yang akhirnya kehidupan saya sudah mula menunjukkan suatu yang positif. saya amat bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dikurniakan kesihatan yang baik, keluarga yang hebat, sahabat yang sejati dan teman istimewa yang tidak pernah putus memberikan sokongan. sekarang saya sudah berumur hampir 24 tahun, masa yang dirasakan begitu cepat berlalu memang benar. sekejap sahaja masa melewati kita dan kini tahun telah menganjak kepada 2009. saya berasakan baru sahaja tahun 2008 pergi meninggalkan saya. kalau mengikut kalendar lunar cina, tahun 2009 merupakan tahun bertuah untuk mereka yang lahir pada tahun 1985. tahun 2009 menandakan tahun bertuah bagi tahun sapi atau Ox. itu kalau menurut kepercayaan kaum cina. namun saya cuma berharap agar ramalan tersebut betul-betul akan terjadi. saya tidak menyangka bulan februari ini banyak memberikan saya kegembiraan. antaranya ialah saya menerima seseorang yang baru di dalam hidup saya. seorang yang telah membuka semula pintu hati yang telah terkunci sejak oktober tahun lalu. dia begitu memahami diri saya serta berjaya menjadikan diri saya merindui setiap saat ketika bersamanya. kami menatang hidup bersama-sama dan cuba menggali makna cinta. walaupun tetas air mata, yang kami cuba sela dengan derai tawa. saya mengerti kini, erti kesetiaan yang dirinya telah tunjukkan kepada diri saya. apa yang pasti, saya takkan kecewakan, kerana semuanya bagi diri saya, terlalu indah. terima kasih sayang.