assalamualaikum.
alhamdulillah, saya masih lagi berdaya untuk menghirup udara segar di bumi yang sementara ini. saya ingin memohon maaf kepada pembaca blog kerana tidak mengemaskini blog saya beberapa minggu yang lepas.
syukur, saya baru sahaja selesai menjalankan kajian lapangan untuk melengkapkan tesis penulisan ilmiah saya yang kedua. semua data-data dan maklumat yang berkaitan dengan tajuk saya iaitu "budaya bergendang dan bermukun sebagai budaya popular di kampung Tiang Api, Kuching" telah siap direkod dan diletakkan di dalam laporan. saya pada kali ini berminat untuk memilih tajuk yang berkaitan dengan budaya masyarakat melayu sarawak. oleh itu, saya telah memilih untuk mengkaji fenomena bergendang dan bermukun di dalam kampung sebelah ibu di kampung Tiang Api.
bergendang dan bermukun adalah budaya dan seni hiburan tradisional yang diperturunkan di dalam masyarakat melayu sarawak secara turun temurun. tidak terkecuali untuk kampung di sebelah ibu saya di mana budaya ini masih lagi giat dan aktif dianjurkan. secara umumnya, acara bergendang selalu dianjurkan untuk meraikan kunjungan pembesar, menyambut musim menuai, perkahwinan mahupun berkhatan atau untuk beriadah dan bersantai. bermukun pula merujuk kepada aktiviti berbalas pantun dan biasanya bermula sejurus seh gendang memulakan paluan gendang dan gesekan biola oleh penggesek.
saya telah berkunjung ke kampung tersebut pada 20 mac yang lepas dan perjalanan ke sana tidaklah semudah pergi ke kampung yang lain di negeri ini. untuk pergi ke kampung Tiang Api, anda perlu menunggu bot sangkut ataupun perahu di pengkalan kampung goebilt, yang terletak kira-kira 10km dari bandar Kuching. setelah itu, bot akan membawa anda ke pengkalan kampung Tiang Api, tetapi belum lagi sampai sepenuhnya ke kawasan perkampungan tersebut. anda perlu berjalan kaki melintasi kebun nenas, belukar dan terakhir sekali kebun kelapa. kampung Tiang Api hanya kampung yang kecil tetapi pegangan budaya tradisi nya masih utuh. saya amat terperanjat apabila sambutan daripada masyarakat amat memberangsangkan. persiapan untuk acara bergendang dilakukan dengan teliti dan saya secara jujur mengakui agak terkejut dan kagum dengan semangat tolong menolong yang ada dalam masyarakat kampung tersebut. pada sebelah malam jumaat (20mac) bermulalah acara bergendang dan bermukun. saya merakam setiap kejadian tersebut dan mendapati acara bergendang dan bermukun sememangnya menyeronokkan. seh gendang (wanita yang memukul gendang) dan penandak (penari lelaki yang sedang menari) saling berbalas mukun (pantun) sebagai contoh;
seh gendang memulakan pukulan gendang dan memulakan acara dengan menjual pantun;
bukan mukun sebarang mukun,
mukun kamek berisik bunga ngerejas
bukan pantun sebarang pantun,
pantun kamek mintak dibalas
setelah itu, penandak akan membalas pantun seh gendang sebagai contoh;
duaklah tiga kucing berlari,
mana nak sama si kucing belang,
duaklah tiga sudah kucarikmanalah nak sama cik puan sorang
acara diteruskan dengan berbalas pantun antara seh gendang dan penandak. sehinggalah seh gendang akan berpantun seperti berikut untuk menandakan tamatnya acara bergendang dan bermukun;
mak Adah memolah puan,
puan diletak di atas peti,
saya memadah bedengan tuan,
main kamek mohon berenti.
saya melihat situasi yang wujud semasa acara bergendang dan bermukun ialah amat santai. semua yang hadir memberikan konsentrasi yang tinggi. amat mengejutkan bagi saya kerana bukan sahaja bentuk hiburan tradisional ini ditonton oleh golongan tua malah turut dinikmati oleh generasi muda. saya perhatikan sanak saudara keluarga yang menganjurkan acara bergendang dan bermukun turut menghidangkan jamuan ringan kepada hadirin yang hadir. ini jelas menunjukkan amalan sosial bermasyarakat masih dipegang oleh penduduk kampung Tiang Api.
selama tiga hari saya menjalankan kajian di kampung tersebut, saya mengalami pengalaman budaya yang amat istimewa pernah saya alami dalam hidup. pertamanya, saya melihat peranan hiburan tradisional bergendang dan bermukun sebagai medium komunikasi antara manusia, dan juga sebagai medium untuk mendidik generasi muda (menerusi pantun). sungguh unik sekali.
pagi tadi (26mac) saya telah membentangkan bab I sehingga bab III penulisan ilmiah II saya di hadapan penyelia, Dr Awang Azman bertempat di bilik mesyuarat pusat bahasa Unimas. pada mulanya saya berasa gentar tetapi semakin gentar tangan milik saya ini, diri saya semakin bersemangat. syukur alhamdulillah, Dr Awang telah memberikan komen yang positif terhadap bab I, bab II dan bab III kajian saya. bulan april nanti saya akan membentangkan hasil kajian saya pula. Dr Awang sempat memberitahu saya bahawa sekiranya tajuk saya ini lulus cemerlang, tidak mustahil saya boleh meneruskan kajian ini dengan mendalam sebagai tesis program Master saya bulan februari tahun depan insyaAllah.
saya ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan kajian lapangan saya. terutamanya warga kampung Tiang Api yang tidak putus-putus menghulurkan bantuan seperti Encik Roseli Mahiden, Cik Radiah Mahdi, Puan Jeni Mahiden, Encik Mahdi Mahiden, Encik Hamzan Hamdan, Puan Raemah Lee, Puan Raini Paleng, Puan Ara Kapis, dan Puan Limah Cik. selain itu, saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Dr Awang Azman kerana telah memberikan bimbingan untuk mendasari kajian saya.
sekian.
1 comment:
wah....best eh... Aku suka lah...
Tok mun sik dapat A gik PI ko sik tauk lah ci...
good Luck...
Dah abis dah kita 2 tok owh...
4 taun ci...
Post a Comment