Tuesday, July 28, 2009

kami berdukaaa..

Wen, Faizal dan Hisham sedang berlatih gaya ketawa ala stephen chiaw..


inilah Nasir dan Wen, selaku percussionist DaMy


Zul memeriksa keadaan musician (Calen tersenyum sambil memetik gitar solonya)


masing-masing buntu apabila mendengar penundaan tarikh nasyid (Zul kecewa tahap lipan)


dan saya? saya ok sahaja..(suara yang hilang tidak menjejaskan saya untuk bergambar) haha


assalamualaikum..

salam sejahtera..

saya berasa amat terkejut dan terkilan kerana dimaklumkan bahawa UNIMAP telah menunda tarikh pertandingan nasyid kemerdekaan pada satu tarikh yang akan diumumkan atas sebab penularan virus selesema "babun" H1N1 di kawasan kampus universiti tersebut. hal ini telah memaksa encik azrul selaku pegawai kebudayaan Unimas menunda pembelian tiket penerbangan kami. kecewa memang kecewa tetapi saya percaya terdapat hikmah di sebalik kejadian ini. selain itu, saya berasa kurang sihat selepas batuk berdarah lewat malam semalam selepas berakhir latihan nasyid di panggung eksperimen kampus timur. pada mula saya memang takut kerana ini merupakan kali pertama saya batuk sedemikian namun syukur alhamdulillah, setelah pergi ke klinik pagi tadi, sakit tekak ini dapat dipulihkan dalam masa beberapa hari. pada ketika ini, saya telah hilang 60% suara saya akibat sakit tekak tersebut.

pada malam tadi, latihan yang kami jalani sememangnya intensif dan memenatkan tetapi atas dasar tanggung jawab menyampaikan dakwah, kami lakukannya dengan terbaik. terdapat juga perselisihan faham yang berlaku di dalam kumpulan kami tetapi kami sedar, ianya lumrah bekerja dalam kumpulan. saya berasa kasihan apabila melihat anggota DaMy junior bertungkus lumus memperbetulkan teknik gaya dan vokal serta masih mengulang kesilapan yang sama. inilah yang menyebabkan berlakunya pergeseran di antara musician dan anggota nasyid. tetapi, pada akhir latihan, kami bermusyawarah semula, memuhasabahkan diri serta melihat pada kelemahan diri masing-masing dan bukannya mula menuding jari pada orang lain. inilah keistimewaan kumpulan DaMy, di mana permuafakatan sesama ahli kumpulan menjadi nadi dan teras kumpulan yang saya sayangi ini. syukur alhamdulillah, malam tadi kami telah melakukan yang terbaik (meskipun saya telah kehilangan suara..)

saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada teman yg sangat saya rindui, kerana sudi meneman saya sehingga saya dapat melelapkan mata pada malam semalam. saya akui, semestinya dia mengantuk ketika berkirim sms dengan saya sehinggalah jam menunjukkan pukul 3am. namun dia masih ada menemani saya. saya ingin mengucapkan terima kasih kerana berada di sisi.

"i know you give me sanctuary.."

salam..










Safest place to hide..

assalamualaikum..


maaf seribu kali maaf saya pohonkan daripada para pembaca. saya terlalu sibuk dengan urusan latihan nasyid untuk pertandingan nasyid peringkat kemerdekaan antara universiti. pertandingan yang dijadualkan berlangsung di Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) kini mengalami perubahan yang begitu drastik disebabkan oleh wabak H1N1.. penerbangan UNIMAS terpaksa ditangguhkan kepada satu tarikh yang belum ditetapkan. saya menjadi bingung kerana saya khuatir tarikh tersebut hampir dengan tarikh konvokesyen saya nanti. saya cuma boleh berdoa agar tiada masalah yang akan timbul selepas ini.

saya menetap di bilik Nasir, di Kolej Cempaka buat masa ini kerana latihan intensif nasyid selama seminggu. seperti biasa yang kami lakukan sebelum pergi bertanding. alhamdulillah, saya pada masa ini berasa sungguh gembira dan tenang. saya juga kurang mengerti mengapa saya berasa sebegini. semuanya bermula selepas perkenalan saya dengan seseorang. dia menjadi sahabat yang sungguh supportive. saya berasa bertuah kerana memiliki sahabat sepertinya. pada mulanya saya tidak menyangka saya akan bertemu dengan nya kembali selepas 7 tahun. dia merupakan junior saya ketika di sekolah menengah dulu. saya tidak berbohong, sememangnya dari dulu lagi saya sudah memerhatikannya dah ingin berkawan namun, saya pada ketika itu agak segan kerana saya tidak memiliki perwatakan yang menarik (dahla gempal, bercermin mata pula! ^_^ ). syukur saya panjatkan ke hadrat Ilahi kerana pada tahun ini, saya sudah menemuinya semula.

saya senang berkawan dengan nya kerana dia membuatkan hati saya tenang dan saya sudah mula belajar untuk senyum semula selepas sudah lama hati saya dirundung kesedihan. semoga persahabatan saya kekal sampai bila-bila. saya juga berharap agar dia senang berkawan dengan saya. alamak.. saya perlu bergerak sekarang..lab semakin sesak... hingga bertemu lagi..

salam..

Saturday, July 25, 2009

stairways to heaven..

sesungguhnya setiap perkara itu ada balasannya


assalamualaikum..

maafkan saya kerana sudah lama tidak menulis blog.

saya kurang mengerti mengapa wanita sering mudah mempermainkan perasaan saya. adakah terlalu mudah untuk mereka mempersendakan kemurnian hati lelaki yang memberikan segala-galanya untuk mereka? mereka mudah untuk memperkatakan sesuatu yang indah-indah namun segalanya pudar apabila berjauhan.

saya bukanlah seseorang yang mudah mempercayai cinta. namun atas nama cintalah diri saya berubah daripada yang tidak baik kepada yang sebaliknya. ia sesuatu yang amat suci dan penuh kegembiraan. tetapi tidak bagi diri saya. segalanya musnah. biarlah, 5 bulan sudah berlalu, saya masih lagi berdiri.

kepadanya, biarlah apa yang terjadi benar-benar membuka mata kita kepada realiti hidup. langit tidak akan sama tarafnya dengan bumi..

Monday, June 8, 2009

dunia sudah berubah

adakah aku sudah bersedia?


assalamualaikum..

alhamdulillah, saya dapat juga mencuri masa untuk menulis kembali. sudah hampir sebulan saya tidak mengemaskinikan blog saya. saya berasa amat bersyukur kerana saya sudah tamat pengajian 4 tahun saya di universiti malaysia sarawak. pejam celik, sudah sebulan saya meninggalkan kampus Unimas yang terletak di Kota Samarahan. selepas berakhirnya peperiksaan akhir pada 3 Mei lalu, saya terus kembali ke dalam bilik di Kolej Bunga Raya. tanpa membuang masa, saya mengemaskan segala barang-barang yang menghuni bilik itu sekian lama. kebanyakan barang-barang saya sudah berhabuk termasuklah beberapa kotak fail-fail lama. tersentuh pula hati saya apabila melihat sekeping gambar yang saya letak di sebelah kiri sudut meja belajar. gambar tersebut adalah gambar diri saya ketika pertama kali menjejakkan kaki ke Unimas, Julai 2005. saya terus tersenyum seketika kerana semua itu tinggallah kenangan yang benar-benar memberikan satu motivasi untuk diri saya. selepas mengemas semua barang-barang milik saya, saya berkunjung ke pejabat kolej, untuk memberikan balik kunci apartment yang telah saya pegang selama 2 tahun (saya menginap bilik yang sama sejak 2007). saya mengucapkan terima kasih kepada kakak dan abang pejabat kerana telah banyak membantu ketika saya menginap di kolej yang paling luas di Unimas ini. setelah selesai menyerahkan kunci bilik, saya mengambil masa sedikit untuk memandang kembali kolej kediaman saya.

saya terus bergerak ke kampus timur, di mana fakulti sains sosial terletak. tujuan saya cuma satu, berterima kasih kepada semua warga FSS kerana telah memberikan saya peluang untuk maju selama ini. saya berkesempatan melawat semua pensyarah-pensyarah yang pernah mendidik saya. kami berbual panjang sehinggalah tiba waktu makan tengah hari. setelah itu, saya dan Hazrie kembali ke kafe bulat di kampus barat, tempat di mana kami gemar makan tengah hari. bukan apa, pilihan lauk nya yang banyak dan harga yang sungguh berpatutan. kami makan tengah hari di kolej itu di samping menemui beberapa orang rakan yang masing-masing menarik nafas lega selepas tamat peperiksaan akhir.

alhamdulillah, saya baru sahaja menelefon infoline Unimas. saya mendapat satu berita gembira, sungguh gembira. khabar berita yang gembira itu tidak lain dan tidak bukan, sah mendapat tempat di dewan Unimas 15 Ogos nanti. ya, syukur ke hadrat Ilahi, saya telah lulus peperiksaan akhir dan bermakna, saya layak bergraduat bulan Ogos nanti. gembira bukan kepalang sehinggakan saya sudah tidak senang duduk ketika mendapat berita tersebut. saya sendiri tidak menyangka saya memperoleh pointer 3.02, setelah beberapa tahun saya tidak memperoleh pointer menjangkau 3.0. saya lulus juga kertas subjek Puan Siti Haslina, yang saya akui saya takut dan seram sejuk ketika berada di dalam kelas itu. Penulisan Ilmiah saya juga lulus, terima kasih Dr. Awang dan dua A yang saya peroleh daripada kertas subjek EPP (english for professional purposes) dan Kelakuan Organisasi cukup melegakan saya. tidak sia-sia saya menunggu selama ini. sehinggi kini saya masih belum percaya yang saya akan menuju ke majlis konvokesyen Unimas nanti. kini, bakal tergantunglah gambar saya di sebelah gambar konvokesyen abang di rumah.

kini saya berasa sungguh bahagia sekali, kerana dikurniakan kehidupan yang baik, keluarga yang terbaik, sahabat yang setia dan teman istimewa yang memahami. tidak ada apa yang saya perlukan buat masa ini kerana bagi saya, semuanya cukup membahagiakan. pelan? ya, saya sudah memasang impian untuk bekerja dalam bidang yang saya gemari iaitu perhubungan awam. pada masa ini, saya masih lagi mencari ruang untuk memasuki industri pekerjaan yang saya akui, sungguh kompetitif sekarang. saya teringat dengan pesanan cikgu mohd hazani tempoh hari, ikhlaskan niat kalau nak bekerja, walaupun gaji tak besar, dapat menyumbangkan sesuatu kepada ibu dan bapa sudah memadai. katanya lagi, fokus saya kini hanyalah gaji yang besar dan fokusnya cuma keluarga. saya pada mula kurang mengerti apa maksud beliau namun setelah saya berfikir panjang, saya akhirnya faham. dua dunia yang berbeza. iaitu, sebagai insan yang baru mengalami suasana pekerjaan dan insan yang sudah lama berkecimpung dalam dunia tersebut. bagi saya, memang saya tidak berbohong, gaji adalah faktor utama yang difikirkan ketika hendak memilih pekerjaan. tetapi buat cikgu hazani, apa yang difikirkannya sekarang cumalah keluarganya.

saya fikir, itulah apa yang dinamakan kehidupan yang saya rasa penuh dengan pilihan. kita hanya perlu mengetahui apa yang perlu kita pilih, untuk melalui hidup hari demi hari. saya buat masa ini, bekerja sebagai guru tusyen bahasa inggeris pada malam isnin, selasa dan jumaat. walaupun pendapatannya tidak seberapa tapi saya syukur kerana saya masih lagi boleh menabur bakti mendidik anak bangsa, seperti apa yang telah saya lakukan ketika menjawat jawatan guru sandaran sekolah rendah pada tahun 2005 dahulu. saya masih boleh mengajar kanak-kanak dengan baik walaupun ada ketikanya mereka bersikap terlebih nakal daripada yang biasa. lumrah pendidikan.

eloklah saya berhenti kerana saya sudah pun keletihan selepas membersihkan bilik belajar saya di rumah pagi tadi. apa-apapun, trima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk membaca blog saya. salam..


Saturday, March 28, 2009

festival nasyid UITM 2009







assalamualaikum.


pada bulan februari yang lepas, kumpulan nasyid DaMy sekali lagi telah dijemput untuk membuat persembahan semasa festival nasyid yang dianjurkan oleh uitm kampus samarahan. undangan tersebut telah membawa pengertian yang amat besar bagi kumpulan kami. pada masa yang sama, saya telah dijemput untuk menjadi hakim pertandingan nasyid pada malam tersebut. semua peserta telah mempamerkan bakat yang cukup tinggi kualitinya. saya berasa amat berbesar hati kerana pihak uitm telah sudi mengundang kumpulan nasyid DaMy untuk berkunjung dan berkongsi usrah pada malam tersebut. semoga nasyid menyatukan kita.

wassalam.

Wednesday, March 25, 2009

Hidupku sebagai pelajar

Puan Jeni dan Puan Raini mula bergendang


para penandak asyik dengan tarian masing-masing


perjalanan ke kampung tiang api amat sukar


saya ketika dalam perjalanan menuju ke pengkalan


inilah dia, pengkalan kampung tiang api



assalamualaikum.

alhamdulillah, saya masih lagi berdaya untuk menghirup udara segar di bumi yang sementara ini. saya ingin memohon maaf kepada pembaca blog kerana tidak mengemaskini blog saya beberapa minggu yang lepas.

syukur, saya baru sahaja selesai menjalankan kajian lapangan untuk melengkapkan tesis penulisan ilmiah saya yang kedua. semua data-data dan maklumat yang berkaitan dengan tajuk saya iaitu "budaya bergendang dan bermukun sebagai budaya popular di kampung Tiang Api, Kuching" telah siap direkod dan diletakkan di dalam laporan. saya pada kali ini berminat untuk memilih tajuk yang berkaitan dengan budaya masyarakat melayu sarawak. oleh itu, saya telah memilih untuk mengkaji fenomena bergendang dan bermukun di dalam kampung sebelah ibu di kampung Tiang Api.

bergendang dan bermukun adalah budaya dan seni hiburan tradisional yang diperturunkan di dalam masyarakat melayu sarawak secara turun temurun. tidak terkecuali untuk kampung di sebelah ibu saya di mana budaya ini masih lagi giat dan aktif dianjurkan. secara umumnya, acara bergendang selalu dianjurkan untuk meraikan kunjungan pembesar, menyambut musim menuai, perkahwinan mahupun berkhatan atau untuk beriadah dan bersantai. bermukun pula merujuk kepada aktiviti berbalas pantun dan biasanya bermula sejurus seh gendang memulakan paluan gendang dan gesekan biola oleh penggesek.

saya telah berkunjung ke kampung tersebut pada 20 mac yang lepas dan perjalanan ke sana tidaklah semudah pergi ke kampung yang lain di negeri ini. untuk pergi ke kampung Tiang Api, anda perlu menunggu bot sangkut ataupun perahu di pengkalan kampung goebilt, yang terletak kira-kira 10km dari bandar Kuching. setelah itu, bot akan membawa anda ke pengkalan kampung Tiang Api, tetapi belum lagi sampai sepenuhnya ke kawasan perkampungan tersebut. anda perlu berjalan kaki melintasi kebun nenas, belukar dan terakhir sekali kebun kelapa. kampung Tiang Api hanya kampung yang kecil tetapi pegangan budaya tradisi nya masih utuh. saya amat terperanjat apabila sambutan daripada masyarakat amat memberangsangkan. persiapan untuk acara bergendang dilakukan dengan teliti dan saya secara jujur mengakui agak terkejut dan kagum dengan semangat tolong menolong yang ada dalam masyarakat kampung tersebut. pada sebelah malam jumaat (20mac) bermulalah acara bergendang dan bermukun. saya merakam setiap kejadian tersebut dan mendapati acara bergendang dan bermukun sememangnya menyeronokkan. seh gendang (wanita yang memukul gendang) dan penandak (penari lelaki yang sedang menari) saling berbalas mukun (pantun) sebagai contoh;
seh gendang memulakan pukulan gendang dan memulakan acara dengan menjual pantun;

bukan mukun sebarang mukun,
mukun kamek berisik bunga ngerejas
bukan pantun sebarang pantun,
pantun kamek mintak dibalas

setelah itu, penandak akan membalas pantun seh gendang sebagai contoh;

duaklah tiga kucing berlari,
mana nak sama si kucing belang,
duaklah tiga sudah kucarik
manalah nak sama cik puan sorang
acara diteruskan dengan berbalas pantun antara seh gendang dan penandak. sehinggalah seh gendang akan berpantun seperti berikut untuk menandakan tamatnya acara bergendang dan bermukun;
mak Adah memolah puan,
puan diletak di atas peti,
saya memadah bedengan tuan,
main kamek mohon berenti.

saya melihat situasi yang wujud semasa acara bergendang dan bermukun ialah amat santai. semua yang hadir memberikan konsentrasi yang tinggi. amat mengejutkan bagi saya kerana bukan sahaja bentuk hiburan tradisional ini ditonton oleh golongan tua malah turut dinikmati oleh generasi muda. saya perhatikan sanak saudara keluarga yang menganjurkan acara bergendang dan bermukun turut menghidangkan jamuan ringan kepada hadirin yang hadir. ini jelas menunjukkan amalan sosial bermasyarakat masih dipegang oleh penduduk kampung Tiang Api.

selama tiga hari saya menjalankan kajian di kampung tersebut, saya mengalami pengalaman budaya yang amat istimewa pernah saya alami dalam hidup. pertamanya, saya melihat peranan hiburan tradisional bergendang dan bermukun sebagai medium komunikasi antara manusia, dan juga sebagai medium untuk mendidik generasi muda (menerusi pantun). sungguh unik sekali.


pagi tadi (26mac) saya telah membentangkan bab I sehingga bab III penulisan ilmiah II saya di hadapan penyelia, Dr Awang Azman bertempat di bilik mesyuarat pusat bahasa Unimas. pada mulanya saya berasa gentar tetapi semakin gentar tangan milik saya ini, diri saya semakin bersemangat. syukur alhamdulillah, Dr Awang telah memberikan komen yang positif terhadap bab I, bab II dan bab III kajian saya. bulan april nanti saya akan membentangkan hasil kajian saya pula. Dr Awang sempat memberitahu saya bahawa sekiranya tajuk saya ini lulus cemerlang, tidak mustahil saya boleh meneruskan kajian ini dengan mendalam sebagai tesis program Master saya bulan februari tahun depan insyaAllah.

saya ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan kajian lapangan saya. terutamanya warga kampung Tiang Api yang tidak putus-putus menghulurkan bantuan seperti Encik Roseli Mahiden, Cik Radiah Mahdi, Puan Jeni Mahiden, Encik Mahdi Mahiden, Encik Hamzan Hamdan, Puan Raemah Lee, Puan Raini Paleng, Puan Ara Kapis, dan Puan Limah Cik. selain itu, saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Dr Awang Azman kerana telah memberikan bimbingan untuk mendasari kajian saya.

sekian.





Saturday, March 14, 2009

Kembali

inilah kelas darjah 4 dan 5 yang saya ajar setiap selasa.. yang sedang membaca itu ialah adik Arifah..


saya dan hishammudin sedang kekenyangan setelah penat membuat persembahan nasyid di sekolah menengah sains kuching. (abang enol Hawary sedang khusyuk berbual dengan abang wafa [di belakang hishammudin])


saya dan hazrul bergambar di dewan sekolah menengah sains kuching, selepas persembahan.

inilah Linda, anak buah saya.. ^_^


inilah rupa saya sekarang.. di tengah-tengah kesibukan hidup dan kegembiraan dunia...



assalamualaikum

alhamdulillah, baru kini saya berkesempatan untuk menulis blog kembali setelah mengharungi beberapa minggu yang amat menyibukkan.

saya sememangnya tidak menyangka saya menjadi teramat sibuk sejak belakangan ini. dengan tugasan yang semakin menimbun, ditambah lagi dengan tugasan tesis tahun akhir saya. oh ya, buat masa ini, dengan jumlah kelas untuk semester ini yang amat sedikit, saya telah menerima tawaran sahabat saya untuk mengajar kelas bimbingan Bahasa Inggeris tingkatan 4 dan darjah 4 serta 5. saya sebelum ini memang pernah mengajar bahasa inggeris ketika menjawat jawatan guru sandaran di SK Pulo pada tahun 2005 dahulu. mula-mula saya berasa kekok kerana sudah lama saya tidak mengajar. mengajar tingkatan 4 tidak menjadi masalah kepada saya cuma saya berasa gentar setelah mengajar tahun 4 dan 5. bukan calang2 anak murid yang saya punyai. cukup nakal tetapi mereka memang hebat, kerana mereka saling bertanya kepada saya setiap perkara yang tidak mereka fahami. mereka cukup comel. saya sudah memberikan mereka kerja rumah untuk saya semak hari selasa nanti.

kehidupan saya di Unimas pada belakangan ini memang amat sibuk. semester ini juga adalah merupakan semester terakhir saya untuk bergiat aktif dalam nasyid. kumpulan yang saya sayangi, Da'My alhamdulillah telah mula dikenali dan berjaya menjadi sebuah kumpulan nasyid yang mantap. pada 7 haribulan mac yang lalu, kami telah menjayakan konsert bersama Hawary di sekolah menengah sains kuching sempena maulidur Rasul. kami diundang untuk menjayakan konsert Hawary bersama-sama kumpulan nasyid tersohor bumi kenyalang, Hawary. seperti biasa perasaan gemuruh masih lagi bersarang di hati saya sebelum menyampaikan lagu. alhamdulillah, kami berjaya membawakan semua lagu-lagu Da'My dengan baik. syukurlah, sambutan daripada adik-adik sekolah menengah sains kuching amat memberangsangkan.

saya tidak menyangka yang akhirnya kehidupan saya sudah mula menunjukkan suatu yang positif. saya amat bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dikurniakan kesihatan yang baik, keluarga yang hebat, sahabat yang sejati dan teman istimewa yang tidak pernah putus memberikan sokongan. sekarang saya sudah berumur hampir 24 tahun, masa yang dirasakan begitu cepat berlalu memang benar. sekejap sahaja masa melewati kita dan kini tahun telah menganjak kepada 2009. saya berasakan baru sahaja tahun 2008 pergi meninggalkan saya. kalau mengikut kalendar lunar cina, tahun 2009 merupakan tahun bertuah untuk mereka yang lahir pada tahun 1985. tahun 2009 menandakan tahun bertuah bagi tahun sapi atau Ox. itu kalau menurut kepercayaan kaum cina. namun saya cuma berharap agar ramalan tersebut betul-betul akan terjadi. saya tidak menyangka bulan februari ini banyak memberikan saya kegembiraan. antaranya ialah saya menerima seseorang yang baru di dalam hidup saya. seorang yang telah membuka semula pintu hati yang telah terkunci sejak oktober tahun lalu. dia begitu memahami diri saya serta berjaya menjadikan diri saya merindui setiap saat ketika bersamanya. kami menatang hidup bersama-sama dan cuba menggali makna cinta. walaupun tetas air mata, yang kami cuba sela dengan derai tawa. saya mengerti kini, erti kesetiaan yang dirinya telah tunjukkan kepada diri saya. apa yang pasti, saya takkan kecewakan, kerana semuanya bagi diri saya, terlalu indah. terima kasih sayang.