Assalamualaikum warahmatullahi Wabarakatuh,
Saya telah mencuba beberapa kali untuk mendapatkan semula kata laluan akaun Blogger namun akhirnya, setelah 6 kali mencuba akhirnya saya berjaya. Kali terakhir saya menulis blog adalah pada tahun 2012, 6 tahun yang lalu dan saya belum berkahwin ketika itu. Kini alhamdulillah, setelah mendirikan rumahtangga pada Disember 2013 yang lalu, saya dan isteri dikurniakan 2 orang anak lelaki iaitu Ammar Aricsh Adha pada 4 Oktober 2014 dan baru-baru ini, Aayden Ash-Sharh Anaqi pada 31 Oktober 2018. Syukur, kedua-dua anak saya ini lahir dalam bulan Oktober, sekaligus memudahkan proses sambutan harijadi mereka kelak.
Saya berjaya menamatkan zaman bujang saya pada bulan Disember 2013, setelah bertunang pada 6 Jun 2013. Saya berkenalan dengan isteri saya pada bulan Mac dan mengambil keputusan untuk melamarnya lewat bulan Mei. Inilah yang dinamakan jodoh, hampir 4 tahun mencari pengganti dan pada tahun 2013 jugalah saya dipertemukan dengan isteri.
Benarlah kata orang, jodoh itu akan hadir dalam keadaan yang kita sama sekali tidak menjangkakannya. Jika anda membaca entri-entri saya yang terdahulu, mungkin anda pernah membaca tentang seorang gadis yang begitu saya sayangi namun, setelah beberapa tahun mencuba, saya akur saya bukan pilihannya.
Selepas berkahwin, kehidupan saya sebagai seorang pengamal perhubungan awam di salah sebuah syarikat milik penuh badan berkanun negeri semakin sibuk. Banyak aktiviti-aktiviti korporat dan pemasaran diadakan pada tahun 2013 sehinggalah tahun 2018.
Saya rasa saya akan berhenti setakat ini. Nak sambung menulis benda lain pula.